Disuatu pagi dihari Rabu disebuah Pasar Tani, saya ke tapak gerai yang menjual roti-roti kecil pelbagai inti. "Pilih dik, tiga biji seringgit dua puluh sen sajer. Adik boleh campur-campur, tak ada masalah. Asalkan adik suka." Itu celoteh akak penjual roti, ramah tersenyum manis. Saya cuma membalas dengan senyum nipis sambil tangan mencapai ketulan-ketulan roti yang diingini. Akhirnya roti-roti kecil comel yang lembut berintikan ikan bilis, sardin dan kacang merah menjadi pilihan. Saya masukkan tiga ketul roti itu ke dalam plastik yang telah sedia terbuka di tangan akak penjual roti. "Dah ye dik? Terima kasih. Alhamdulillah".
Kaku seketika, saya bagai tersedar dari mimpi. Terkesima mendengar tutur kata lembut dari bibir akak penjual roti. Sungguh tulus hingga terlekat dihati. Saya pandang wajah mulus akak penjual roti. Jelas wajah itu berseri dengan sinar indah yang suci. Tatkala berjalan pulang, saya terfikir sendiri. 'Alhamdulillah'. Lama benar saya tidak melafazkan perkataan itu dengan benar-benar luhur dari hati. Dan rasanya lebih lama lagi saya senang melemparkan keluhan daripada mensyukuri nikmat yang diperolehi. Muharram datang lagi. Harapnya masih belum terlewat untuk saya menginsafi diri. Saya seharusnya lebih menghargai apa yang saya miliki, dari terus menagih kepalsuan sebuah mimpi.
No comments:
Post a Comment